Jul 27, 2025 - FASAsia Warriors FC akan menjadi tuan rumah kepada Selangor FC dalam perlawanan pameran yang akan berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya hari ini (27 Julai) pada jam 6:40 petang.
Perlawanan Selangor FC x Asia Warriors FC 2025 dijangka menampilkan gabungan persaingan berkualiti, penyertaan nama-nama besar bola sepak serantau serta pelbagai pengisian menarik buat para penyokong.
Ketua Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, menyatakan bahawa beliau amat berbesar hati dapat menentang Asia Warriors FC sebagai sebahagian daripada persiapan pasukan, “Kami perlu membuat persediaan rapi untuk perlawanan ini dan juga perlawanan Liga Super akan datang. Menentang pasukan seperti Asia Warriors FC yang menampilkan legenda-legenda bola sepak Asia adalah satu peluang yang sangat berharga.”
Faisal Halim, penyerang Selangor FC, turut meluahkan keterujaannya menjelang perlawanan petang ini.
"Sudah tentu saya teruja. Ini perlawanan yang kami nantikan kerana menentang pemain-pemain berpengalaman dan legenda. Mereka ada kualiti dan pengalaman yang tinggi, dan kami boleh belajar banyak daripada mereka. Namun, di atas padang, kami tetap perlu beri yang terbaik. Hormat tetap ada, tapi kami juga perlu tampil lebih baik untuk terus berkembang," ujar Faisal.
Selangor FC juga menyediakan aktiviti-aktiviti istimewa buat para penyokong seperti penjualan fizikal Third Kit buat kali pertama di RG Club Shop, klinik bola sepak Grassroot Soccer School dan pengenalan pasukan musim 2025/26.
Penyokong dari dalam dan luar negara dijemput hadir memeriahkan perlawanan ini. Pihak pengurusan yakin Gergasi Merah akan tampilkan aksi terbaik dalam perlawanan ini.
Demi Kebanggaan!